LAPORAN LAWATAN KE PUSAT SEJADI DI SABAH
1. PUSAT INFORMASI BUKIT GEMOK, TAWAU
2. TAMAN BUKIT TAWAU, TAWAU

1. LAWATAN KE PUSAT INFORMASI BUKIT GEMOK, TAWAU

Pada 8 Julai 2004 bersamaan hari Khamis jam 8:00 pagi, Jawatankuasa Penerbitan Buku Panduan: Pusat-pusat Sejadi di Sabah terdiri daripada saya dan Cik Shiho Imamura telah mengadakan lawatan ke Pusat Informasi Bukit Gemok bertempat di daerah Tawau. Tujuan kami adalah untuk memenuhi jadual lawatan bagi mengumpul maklumat terkini serta mengambil gambar-gambar yang sesuai untuk dimuatkan dalam penerbitan edisi ke dua buku berkenaan. Sebelum bertolak ke Pusat Informasi tersebut, kami terlebih dahulu singgah ke Pejabat Perhutanan Daerah Tawau serta mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Mukim BAL, Encik Okee Tiunsu. Selepas itu, kami bertolak ke pusat tersebut yang letaknya lebih kurang 11 km. dari Bandar Tawau dengan kenderaan pacuan 4 roda diiringi oleh Encik Alvin @ Ashley Robin, Pembantu Perhutanan Mukim BAL. Setibanya di sana pada pukul 9:00 pagi, kami terus dibawa menaiki Bukit Gemok berpandukan seorang pembantu sebagai pemandu jalan iaitu Encik Ebin Nasili.

Semasa lawatan, kami mendapati bangunan pejabat yang dilengkapi dengan ruang pameran pusat informasi berkenaan sedang di dalam pembinaan. Sebenarnya, untuk sampai ke puncak bukit, kami terpaksa melewati 7 (tujuh) pondok perhentian yang masing-masing dikenali dengan jolokan nama-nama pokok seperti Stesen No. 1 - Pondok Perhentian Kapur Paji; Stesen No. 2 - Pondok Perhentian Kayu Malam dan seterusnya hingga tiba ke pondok persinggahan terakhir iaitu Stesen No. 7 yang terletak di puncak Bukit Gemok di mana terdapat jambatan silara yang baru siap dibina dicelah dua pokok besar, berlatar belakangkan pemandangan laut dan perkampungan Batu Putih. Sebelum berjaya mendaki puncak bukit, saya dan Cik Shiho sering berhenti rehat di setiap pondok persinggahan untuk merakam gambar-gambar yang menarik seperti spesis flora dan fauna yang terdapat di kawasan hutan rekreasi seperti keladi liar (Acaceae) dan beberapa spesies herba tempatan yang belum diketahui nama saintifiknya. Di samping itu, kami juga menjumpai spesies semut besar untuk dimuatkan sebagai bahan maklumat. Di suatu kawasan terdapat spesies tumbuhan yang dikenali oleh penduduk tempatan dengan nama Pokok Buah Mata Pelanduk yang jarang dijumpai dan kami sempat merasa buahnya yang mempunyai saiz seakan buah ceri, berwarna merah jambu (seakan bentuk mata Pelanduk) dengan biji bewarna ungu. Rasanya asam sikit apabila dimakan.

Semasa berjalan turun, kami ditimpa hujan lebat dan ianya menyukarkan perjalanan kami kerana keadaan jalan yang licin di selangi batu-batu besar yang berlumut. Walaupun saya terjatuh dan mendapat cedera ringan tapi kami cukup berpuashati kerana dapat melihat dan mengalami sendiri keunikan dan suasana alam semulajadi di Bukit Gemok yang kami rakam melalui kamera video digital untuk dikongsi bersama. Kami sempat memberi cadangan agar pihak pusat memagar kawasan sekeliling bagi tujuan mengelak gangguan atau pencerobohan orang luar yang tidak bertanggungjawab seperti kes kebakaran pondok rehat yang terdapat di dalam kawasan pusat oleh sekumpulan penagih sebelum ini. Kami mengakhiri lawatan pada pukul 1.00 tengahari dan bersedia untuk lawatan seterusnya ke Taman Bukit Tawau.

2. LAWATAN KE TAMAN BUKIT TAWAU

Kami tiba ke Taman Bukit Tawau yang terletak lebih kurang 24 km dari bandar Tawau dan 8km dari jalan besar Merotai pada pukul 2:30 petang iaitu kira-kira 45 minit perjalanan dengan kenderaan 4 roda sepertimana yang dijadualkan. Walaupun pada ketika itu kami berasa letih dan dalam keadaan basah kuyup terkena hujan, kami telah disambut mesra oleh Pegawai Taman-taman Sabah Daerah Tawau, Encik Samilim dan Pengurus Taman, Encik Miskun Simin. Kami dibawa oleh Encik Simon Limbawang melawat ke persekitaran taman dalam tempoh masa terhad memandangkan keadaan hujan yang turun agak mengganggu sesi lawatan kami pada ketika itu.

Tanpa membuang masa, kami dibawa terus ke kawasan taman di mana terdapat kemudahan untuk pengunjung seperti 2 unit Jungle Lodge, Chalet dan Camping Ground. Di samping itu, terdapat Shelter dan tandas untuk kemudahan awam juga kantin. Semasa berjalan menjelajah sebahagian kawasan taman yang mempunyai keluasan 27,972 hektar itu, saya mendengar sambil mencatat maklumat sementara Cik Shiho sibuk merakamkan gambar-gambar persekitaran taman seperti kawasan air terjun yang menarik. Sebenarnya, banyak kawasan rekreasi dan Jungle Track yang menarik untuk dilawati seperti kawasan Air Terjun Bukit Gelas (sejauh 2.5 km), Air Panas (3.2 km), Gunung Lucia (12.3 km) dan lain-lain, namun memandangkan cuaca hujan serta tempoh masa lawatan yang amat terhad, maka kami hanya dapat singgah ke Taman Tanah Rendah seluas 5 hektar berhampiran bangunan pejabat taman berkenaan. Kami dimaklumkan bahawa jika hendak melawat keseluruhan taman, kami terpaksa menghabiskan dua hari di situ.

Kami banyak menghabiskan masa di Taman Tanah Rendah di mana terdapat zon-zon tumbuhan mengikut spesies seperti halia hutan, keladi, orkid, herba dan pakis hutan. Apa yang menarik perhatian kami ialah zon keladi liar (Araceae) pelbagai genius dan ada di antaranya yang belum dikenalpasti serta zon orkid hutan di mana terdapat spesies "Orkid Telinga Gajah" (Phalaenopsis gigantea) yang unik (bentuk daunnya lebar dan panjang seakan telinga gajah dan mempunyai bunga besar bewarna merah jambu berintik putih) dan ianya hanya boleh didapati di kawasan hutan Taman Bukit Tawau. Di samping spesies flora, taman yang dikenali sebagai 'Tadahan Air' bagi 5 kawasan utama di daerah Tawau itu juga memiliki hidupan liar yang bersifat pemalu dan sukar untuk dilihat seperti kumpulan monyet merah yang kadangkala kelihatan bersama seekor dua monyet putih, kucing hutan, burung enggang dan beberapa spesies burung.

Kami mengakhiri lawatan pada pukul 5:30 petang dan membawa balik bersama kami bahan maklumat terkini mengenai Taman Bukit Tawau yang akan diperkenalkan dalam penerbitan edisi kedua Buku Panduang:Pusat-pusat Sejadi di Sabah.


Laman web ini lebih baik dilayari dengan resolusi 800 x 600
© Hakcipta terpelihara 2003 oleh Unit Sains & Teknologi.